PUCHONG - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap premis Persatuan Bible Malaysia (BSM), Jumaat lalu sebagai tindakan gopoh kerana ia telah mencetuskan ketengangan antara agama di negara ini.
Menurut Anwar, tindakan itu bukan sahaja mengundang persepsi negatif orang bukan Islam terhadap Islam bahkan mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya penganut Kristian.
Beliau menegaskan Jais sepatutnya mengadakan pertemuan dengan pihak gereja terbabit dan membuat siasatan sebelum menyerbu premis dan merampas Bible mereka.
"Kalau ia dianggap melanggar undang-undang, maka Jais patut panggil orang yang bertanggungjawab itu untuk memberikan penjelasan ataupun siasatan.
"Tak payah ambil tindakan yang menimbulkan reaksi dan ketegangan antara agama," katanya selepas memberikan syarahan di Centre For Reform, di sini, hari ini.
Anwar juga tidak bersetuju dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dari DAP yang turut mengeluarkan kenyataan gopoh bersabit perkara itu.
"Saya juga tidak setuju dengan usul yang dikemukakan Adun DAP, sementara kita tidak setuju dengan tindakan gopoh, kita juga jangan beri pandangan gopoh.
"Jangan gopoh minta pindaan dan sebagainya kerana ada saluran, kita kena bincang, kerajaan negeri pula kerajaan Pakatan Rakyat," katanya lagi.
Khamis lalu, penguat kuasa Jais menyerbu dan merampas 351 salinan naskhah Bible versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban yang dipercayai mengandungi kalimah ALLAH daripada BSM, di Jalan Gasing, Petaling Jaya.
sumber: sinarharian
No comments:
Post a Comment