Tuesday, May 6, 2014

Info Allahyarham Datuk Aziz Sattar


Aziz Sattar atau Abdul Azez bin Satta dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada 8 Ogos 1925 (berdasarkan cacatan pada kad pengenalan). Aziz dibawa ke Singapura oleh bapa beliau ketika berumur tujuh atau lapan tahun. Di Singapura, Aziz bersekolah Melayu hingga Darjah Lima. Persekolahan beliau terhenti disebabkan oleh pecah Perang Dunia Kedua. Setelah meningkat dewasa, Aziz melakukan pelbagai kerja termasuklah menjadi pemandu kereta.


Beliau tidak pernah berasa malu untuk mencari rezeki yang halal biarpun terpaksa melakukan kerja kasar atau menjadi buruh. Aziz mempunyai seorang kawan yang cukup rapat dan mesra dengan beliau. Kawan beliau itu ialah Sharif Dol yang bekerja di Studio Malay Film Productions (MFP). Melalui pertolongan Sharif Dol, Aziz memperoleh kerja sebagai pengalih suara (dubber) di MFP pada 1952. Ketika mula-mula berlakon filem, Aziz Sattar menggunakan nama Aziz Jr. Kemudian, pengarah filem Jamil Sulong menukarkan nama tersebut kepada Aziz Sattar.

Pada tahun 1953, Aziz berpeluang berlakon dalam filem, Putus Harapan yang diarah oleh B. N. Rao. Watak beliau dalam filem tersebut ialah seorang guru sekolah. Pelakon penting dalam filem tersebut ialah P. Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad. Lakonan pertama Aziz berjaya membuktikan bahawa beliau seorang yang berbakat dalam bidang lakonan. Beliau menjadikan pelakon tetap di MFP dengan kontrak selama tiga tahun.

Filem, Arjuna diarahkan oleh V. Girimaji pada tahun 1954 memberi peluang kepada Aziz untuk memegang peranan yang besar. Dalam filem tersebut, Aziz memaparkan lakonan yang cemerlang di samping Ahmad Mahmud, Rokiah Jaafar dan S. Shansudin. Sungguhpun demikian, bakat beliau lebih terserlah sebagai pelawak atau dalam watak lucu. Oleh hal demikian, Aziz sentiasa mengisi watak lucu dalam setiap filem yang dilakonkan oleh beliau. Nama Aziz tersohor sebagai pelakon komedi. Aziz Sattar menjadi pasangan P. Ramlee dan S. Shamsudin dalam empat buah siri filem, Bujang Lapok iaitu Bujan Lapok (1957), Pendekar Bujang Lapok (1959), Ali Baba Bujang Lapok (1961), dan Seniman Bujang Lapok (1961).

Aziz Sattar bukan sahaja memperlihatkan aksi lucu beliau dalam filem, malah dipertunjukan pentas dan persembahan di seluruh negara. Apabila MFP ditutup pada tahun 1967, Aziz mengorak langkah berpindah ke Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk menyambung dunia perfileman Melayu yang hampir terputus. Pada tahun 1975, Aziz bersama-sama M. Burhan dari Sabah, menubuhkan Sabah Film. Sabah Film telah menerbitkan filem pertamanya, Keluarga Si Comat yang diarahkan oleh Aziz. Aziz juga merupakan pelakon dan penulis skrip filem tersebut.

Selain Aziz, filem tersebut turut dilakonkan oleh S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M. Amin. Usaha Aziz Sattar bersama M. Borhan menubuhkan Sabah Film menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu perfileman Melayu yang berkembang hingga ke hari ini. Sumbangan Aziz Sattar yang besar dalam hal tersebut, tidak dapat dinafikan oleh sesiapa jua.

Selepas Keluarga Si Comat, Aziz terus mengarah filem. Kesemuannya filem bercorak komedi yang diterbitkan oleh Indera Film dan Nirwana Film. Sehingga kini, Aziz Sattar masih aktif berlakon yang lebih tertumpu pada drama televisyen. Sementara, kerja-kerja pengarahan sudah jarring-jarang dilakukan oleh beliau disebabkan oleh faktor usia. Namun, Aziz masih bergiat dalam kerja-kerja kebajikan dan amal. Beliau pernah menjadi Bendahari Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan kini merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Malaysia.

Aziz Sattar mendirikann rumah tangga dengan Siti Rumina Ahmad. Kandas dengan perkahwinan pertama, Aziz mendirikan rumah tangga dengan Dayang Sofia yang juga kandas. Pada 16 Disember 2006, Aziz mendirikan rumah tangga untuk kali ketiga dengan Hashimah. Beliau telah dianugerahi darjah Panglima Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk pada 2 Jun 2007 bersemperna dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
 
BACA SELANJUTNYA  http://my.digestrr.com/p/742sA

No comments: