Wednesday, November 9, 2011

Puisidra Konvokesyen KPM 2011 - Seribu Harapan

Buat pertama kali nya, exclusive di blog Askrie Hishamuddin, skrip puisidra yang aku dan rakan-rakan aku yang lain persembahkan semasa hari Konvokesyen KPM 2011 yang lalu. Puisi ini ditulis sendiri oleh Siti Nurbalqisy Binti Razali, dari Kolej Profesional MARA, Seri Iskandar.

Sebelum itu, biar aku ceritakan dulu watak-watak yang terlibat dalam puisidra ini iaitu terdiri daripada :

Askrie Hishamuddin - Anak
Siti Nurbalqisy - Ibu
Amir Ijat - Ayah
Ude - Sahabat
Syahirah - Guru


TAJUK : SERIBU HARAPAN

ANAK

Gelap
Kapan sinar akan menembusi
Buntu
Belum lagi terlihat
Ke mana masa hadapan aku
Ternanti
Mungkinkah lambat
Atau tidak sama sekali
Bendang hijau segar
Ku lihat pudar
Jasa bapak dan emak
Belum terbalas
Maaf

AYAH

Ikhlas
Pengorbananku tidak menuntut balas
Titis peluh
Deras mengalir seiring harapan doa
Cerahlah masa depan engkau
Sabar anakku

IBU

Benar
Doa tak pernah lekang
Dari bibir emak nak
Kau patuh
Pasti tuhan mendengar
Jangan duka
Hati emak terluka
Mari aku dakap

ANAK

Terima kasih
Bapak dan emak
Kerana mendoakan ku
Syukur
Kepada yang Maha Mengasihani
Kerana termakbul doa
Dari sukma ayahbonda
Aku kini mahasiswa!
Dunia
Saksikan janjiku
Tampilku nanti
Adalah seorang peneraju dunia

IBU

Sekali pun
Jangan engkau lupa
Rahmat Illahi
Jangan culas dahimu bersujud
atas tikar sejadah
Penuh khusyuk bersyukurlah
Anakku
Walau berpisah raga
Hati kita tertaut rapat
Nadimu pernah seketika bersatu denganku
Kita bukan berada
Bersungguhlah
Capai jaya itu
Kenang titis keringat ayahmu
Harapannya
Lebih tinggi dari puncak gunung
Lebih dalam dari dasar lautan

AYAH

Kasih ibu bawa kau ke syurga
Kasih ayah berkorban tenaga
Tanah ini
Menjadi saksi
Cintaku padamu anakku
Biar aku miskin harta
Kasihku tumpah tak pernah kurang
Jangan lupa diri
Sungguh
Itulah duri

GURU

Dulu
Saya pernah rasa
Apa yang kau tempuh
Pernah saya lalui
Ilmu saya beri
Wang bukan ganti
Anak bangga unggul
Menakluki pentas global
Itu citaku
Marahku kerana kasih
Dinginku kerana mahu kau endah
Benar benar
Mengejar kejayaan
Melunas harapan
Ayah dan bondamu
Yang saban hari
Menunggu pulangnya
Pengarang jantung
Saban waktu
Merindu ingin mengucup dahimu
Mengusap ubunmu

SAHABAT

Hairan
Dulu
Saat yang lain lalai menghibur diri
Kau tetap di situ
Mata kekal tertancap
Menelaah bernaskhah buku
Di mana kau singgah
Kadang
Berdarah hidung
Sesaat tidak kau peduli
Petualang yang mahu kau turut hanyut
Kini
Fahamlah diriku wahai sahabat
Nah!
Inilah hasilnya
Aku dan kau
Seiring menggenggam kejayaan
Aku tahu kau puas
Usahamu terbalas
Berhasil dirimu
Mengukir senyuman terindah
Pada wajah ayahmu
Mengalir mutiara bahagia
Pada wajah ibumu
Aku kagum

ANAK

Ibu ayah
Bukan mudah bagiku
Menongkah badai
Yang berkali menghentamku
Sakit
Tika jatuh
Aku bangun sendiri
Gagahi diri
Terkadang tewas
Aku bangkit kembali
Tidak untuk diri sendiri
Bahkan
Demi kalian ayah ibu
Demi hari ni
Saat yang aku, ibi, ayah ternanti
Saat jemariku
Menggenggam padu segulung diploma ini
Lihat semua!
Kesatlah air matamu ibu
Lebarkan senyummu ayah
Dakap diriku seeratnya
Selama darah mengalir
Di urat nadi
Selama itu
Hidupku adalah demi bahagiamu
Ini janjiku
Allah menjadi saksi

Pada entri akan datang, aku akan upload music latar belakang yang digunakan dalam persembahan puisidra ini. Boleh lah korang feeling sorang-sorang dalam bilik tidur sambil mengesat air mata dengar music latar belakang dan sambil membaca puisidra ini seorang diri di bilik.

p/s: Masih belum dapat video persembahan puisidra di PICC. Sedihnya tak dapat kongsi dengan pembaca sekalian.

No comments: